Langkah-langkah untuk Menjaga Alam Sekitar
Alam sekitar adalah sesuatu yang
penting dalam kehidupan manusia, tidak mengira bangsa, agama dan negara. Alam
sekitar ini termasuklah kawasan-kawasan tumbuhan hijau, udara dan air seperti
sungai dan laut. Alam sekitar masa kini semakin tercemar kerana terdapat
pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah melakukan pencemaran seperti
pembuangan sampah di sungai-sungai, penggunaan baja-baja kimia dan pelbagai
lagi. Alam sekitar seharusnya dijaga kerana alam sekitar bukan hanya digunakan
pada masa sekarang tetapi akan digunakan sehingga beratus-ratus tahun lagi.
Oleh iu, untuk mengembalikan kesegaran alam sekitar beberapa langkah menjaga
alam sekitar perlulah diambil.
Langkah-langkah yang
boleh diambil adalah melalui pendedahan media massa. Media massa ini
termasuklah televisyen, radio, telefon bimbit, komputer dan surat khabar . Pada
hari ini, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran
semua pengguna. Media massa kini perlulah lebih banyak memberi maklumat tentang
isu-isu pencemaran alam sekitar, terutamanya dalam siaran-siaran di televisyen.
Hal ini kerana televisyen adalah satu media elektronik yang hampir dimiliki
oleh setiap keluarga atau individu di setiap pelusuk dunia. Hal ini sedemikian
kerana setiap manusia atau individu perlu mengetahui tentang keadaan alam
sekitar yang semakin tercemar dan perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka
untuk menjaga alam sekitar. Surat khabar dan majalah pula adalah media yang
banyak mendedahkan tentang isu pencemaran alam sekitar. Pihak-pihak berwajib
sepatutnya perlu mendedahkan isu-isu pencemaran ini dengan lebih luas di
jaringan-jaringan internet kerana masyarakat kini lebih banyak menggunakan
media tersebut berbanding media-media lain.
Selain itu, langkah
untuk menjaga alam sekitar ialah melalui kempen alam sekitar. Antara
kempen-kempen yang boleh dilakukan ialah kempen cintailah sungai kita, kempen
kitar semula, sahabat alam dan sebagainya.Dalam kempen-kempen ini masyarakat
akan didedahkan tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan cara-cara menjaga
alam sekitar seperti menguruskan sisa
pembuangan supaya kurang memberi pencemaran kepada alam sekitar. Kempen kitar
semula pula dapat menggalakkan pengguna supaya mengitar semula bahan-bahan yang
boleh dikitar semula. Dengan itu, masyarakat akan dapat berjimat-cermat dan
dapat megurangkan pencemaran alam sekitar. Dalam kempen alam sekitar ini juga,
aktiviti-aktiviti seperti penanaman pokok-pokok bunga dan membersihkan
kawasan-kawasan yang kotor boleh dijalankan. Penanaman pokok bunga bukan sahaja
dapat mencantikkan alam sekitar tetapi dapat mengembalikan semula kehijauan
sesuatu tempat serta dapat membuktikan betapa pentingnya hidupan hijau di bumi
ini.
Langkah ketiga bagi
mengatasi pencemaran alam sekitar pula ialah melalui organisasi-organisasi
seperti sekolah, balai rakyat, kelab remaja dan juga syarikat-syarikat
tertentu. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada
peringkat rendah dalam pelajaran Alam dan Manusia. Pada peringkat menengah
khususnya dalam pelajaran sains seperti Biologi dan di peringkat pengajian
tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran. Guru-guru
sekolah haruslah bersikap prihatin terhadap alam sekitar dan bersifat cintakan
alam sekitar. Hal ini penting supaya setiap guru dapat menanamkan perasaan
cinta alam sekitar kepada pelajar-pelajar melalui pendidikan moral di sekolah.
Pertandingan kelas terbersih di antara
kelas juga perlu dijalankan agar perasaan tanggungjawab terhadap alam sekitar
dalam diri pelajar dapat disemai. Di peringkat tinggi, pelajar didedahkan
dengan proses kitaran alam sekitar dan cara alam sekitar berinteraksi dan
hubungannya dengan hidupan lain di bumi ini. Dengan itu, sikap sayangkan alam
sekitar akan dapat dipupuk dalam diri pelajar.
. Langkah seterusnya ialah melalui
penggunaan teknologi moden. Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan
pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Penggunaan teknologi moden dapat
mengawal dan mengurangkan pencemaran dengan lebih cepat dan efektif. Dengan
adanya teknologi moden, tumpahan minyak di lautan adalah lebih mudah
dibersihkan tanpa meninggalkan sisa tumpahan minyak. Selain itu, dengan
menggunakan teknologi moden kita dapat menjalankan aktiviti kitar semula
bahan-bahan buangan dan sisa-sisa pepejal seperti surat khabar, majalah lama,
kain dan bahan-bahan plastik. Hal ini sudah tentu akan dapat mengurangkan pencemaran yang
disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Penggunaan
teknologi moden seperti penapis udara yang dipasang pada ekzos kenderaan dan
cerobong asap kilang-kilang perindustrian telah dapat mengurangkan kadar gas
karbon monoksida yang dilepaskan. Hal ini akan dapat mengurangkan kadar
pencemaran udara di sekeliling.
Kesimpulannya,
pencemaran alam sekitar semakin hari semakin meningkat mengikut
pertambahan bilangan pengguna. Saya
berharap setiap individu dapat mengambil pengajaran tentang betapa pentingnya
menjaga alam sekitar agar alam sekitar yang semakin tercemar ini dapat dipulihkan
semula dan dapat dijaga dengan lebih baik pada masa hadapan. Pihak kerajaan dan
badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan haruslah memainkan peranan penting
dalam memulihkan dan memelihara alam sekitar. Sebagai golongan yang berkuasa
mereka pasti dapat menjaga dan mengawal alam sekitar daripada terus tercemar.